Follow us

nah.. meh singgah!

Rabu, 30 April 2014

HUDUD : ANTARA KOMITMEN ATAU AGENDA POLITIK???

Perlaksanaan hukum hudud di Malaysia menjadi perbualan utama dan hangat dalam beberapa minggu ini.  Ia di war-warkan selepas negara jiran, Brunei Darussalam merancang untuk melaksana hudud bermula pada April 2014 secara berperingkat-peringkat. Saban tahun ia menjadi sebuah agenda parti politik antara yang tertua dalam negara kita iaitu Parti Agama Islam Se-Malaysia (PAS). Hudud yakni hukum yang diturunkan dalam Al-Quran daripada Yang Maha Berkuasa untuk panduan manusia lainnya bagi memastikan norma masyarakat terpelihara dalam kehidupan mereka.

SEJARAH PERJALANAN HUDUD

Marilah kita menyningkap sejarah hudud yang sibuk diperkatakan akhir-akhir ini. Hudud mula dijadikan agenda oleh kerajaan negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS melalui Enakmen Kanun Jenayah Syariah yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993. Kita tahu dan sedia maklum hudud merupakan satu undang-undang yang dirakam dalam al-quran dan menjadi tanggungjawab kepada pemerintah untuk ditegakkan. Oleh yang demikian, Kelantan yang pada ketika itu membentangkan enakmen ini untuk diluluskan oleh DUN bagi mengambil tanggungjawab tersebut. Walau bagaimanapun, hasrat tersebut tidak dapat dilaksanakan apabila Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengutus surat kepada kerajaan negeri Kelantan yang diketuai oleh YB Datuk Bentara Setia Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz B Nik Mat yang memberi amaran kepada kerajaan negeri bahawa kerajaan pusat akan mengmbil tindakan kepada Kelantan jika hudud cuba dilaksanakan. Sejak daripada itu, Kelantan menerima sekatan berupa undang-undang daripada kerajaan pusat yang melihatkan enakmen tersebut menjadi satu lipatan sejarah pentadbiran negeri Kelantan. Dan hari ini ia dibangkitkan semula dan menjadi hangat apabila Kelantan cuba mengusulkan satu rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat bagi membolehkan undang-undang tersebut boleh dilaksanakan di Kelantan.

REALISTIK ATAU RETORIK

Dalam keadaan Malaysia semakin parah dengan kadar jenayah yang meningkat, samun menjadi satu perkara biasa dalam negara, kes pembunuhan merata-rata, rompakan dan kecurian, rogol dan sumbang mahram berleluasa, di samping pusat pelacuran berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan melihatkan bahawa Malaysia hanyalah sebuah negara Islam hanya pada nama sahaja. Undang-undang jenayah yang sedia ada tidak mampu membendung kadar jenayah yang kian membarah. Boleh dikatakan setiap hari kes jenayah berat menghiasi dada akbar utama negara. Perkembangan ini sangat tidak bagus bagi pembesaran anak-anak muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara. Oleh yang demikian, hudud dilihat sebagai slaah satu penyelesaian maslaah yang bersifat komprehensif dan realistik. Bukan sahaja menjadi agenda utama PAS dalam manifestonya terutama di negeri Terengganu, hudud menjanjikan keamanan dan keharmonian negara yang melengkapkan konsep “baldatun toyyibatun wa robbul ghaffur”.

Hari ini, kita melihat PAS terus menerima asakan daripada rakan parti sendiri PKR dan DAP. Bebas mengeluarkan kenyataan bagi memperkecilkan usaha PAS untuk membawa dan memastikan RUU persendirian tidak menjadi kenyataan. Apabila ia akan dibentangkan di parlimen nanti, kita akan melihat Ahli Parlimen Muslim yang mana akan menyokong dan tidak menyokong bagi undang-undang tersebut dihasilkan. Ini menampakkan bahawa komitmen PAS untuk memastikan hudud terlaksana bukanlah agenda politik semata-mata, namun ia adalah rasa penuh tanggungjawab dan rasa kehambaan kepada Allah yang Maha Berkuasa demi menyelamatkan negara kita daripada kes jenayah yang kian membarah.

KONFLIK

Apabila sesuatu hasrat murni mahu dilaksanakan, maka akan terzahirlah penentangan yang berskala kecil dan besar. Jika dilihat penentangan terawal dalam arena politik tanah air, DAP yang diwakili oleh Mendiang Karpal Singh menyanggah PAS jika mahu melaksanakan hudud, langkah mayatnya dahulu. Ini adalah ketika suatu dahulu. Sudah lama. Kita sedia maklum Karpal adalah seorang peguam yang terkemuka. Dihormati kawan dan lawan. Jiwa mendukung undang-undang amat sebati dalam jiwanya hinggalah ke perjalanannya yang terakhir.  Penentangannya bukanlah bersifat menghalang tetapi kerana hudud tidak disebut dalam perlembagaan memandangkan taat setianya pada perlembagaan negara yang menjadi tulang belekang pentadbiran di Malaysia. Dan sebab itu dia begitu menentang apabila sesebuah undang-undang baharu mahu dibentuk yang tidak menepati perlembagaan yang didukungnya. Kita juga tidak hairan dan aneh kerana perkara biasa apabila rakan-rakan bukan muslim tidak menyokong enakmen hudud kerana enakmen ini bukan tertakluk kepada mereka, namun ia akan dikenakan ke atas orang Islam sahaja. Walau bagaimanapun, sokongan daripada bukan muslim menanmpakkan dakwah bil hal yang selama ini dibuat telah pun menampakkan hasilnya.
Kita juga melihat UMNO yang dahulunya memperkecil-kecilkan usaha PAS dan menyatakan hudud akan menyebabkan orang akan kudung dan hilang tangan juga semakin baik mentaliti pemikirannya seperti yang ditunjukkan oleh segelintir ahli parlimen mereka. Keseriusan dalam membincangkan perkara ini jelas terzahir apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersetuju untuk menyokong RUU yang akan dbawa oleh Kelantan yang akan dipersembahkan melalui private bill yang bakal dikemukakan tidak lama lagi.

Sebagai seorang Muslim yang sihat akalnya, kita wajar menerima hudud dan menyokong usaha untuk menegakkan hukum Allah di atas muka bumi. Siri penerangan hudud perlu dibuat oleh kerajaan dan kerjasama daripada pembangkang dan kerajaan mestilah disepadukan bagi melihat agenda ini dapat dilaksanakan. Hasrat perlaksanaan hudud ini bakal meletakkan Malaysia menjadi negara yang lebih selamat dan sejahtera serta mendapat keampunan daripada Allah seperti mana yang dijanjikan olehNya. Hanya tinggal kita sebagi hambaNya untuk percaya dan yakin janji Allah. Semoga negara kita dapat keuntungan yang besar daripada perlaksanaan hudud di Malaysia, insyaallah. Rahmat Allah yang kita cari, redha Allah yang kita impi.

MUHAMMAD RAIMI BIN ABDUL RAUF
Pelajar Master Komunikasi,
Universiti Malaysia Terengganu

0 ulasan: